KUALA LUMPUR 18 Nov. – Bersatu mengemukakan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi menuntut perisytiharan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi lima Ahli Parlimen yang dipecat parti itu sebagai tidak berperlembagaan.
Saman pemula itu difailkan Setiausaha Kerja Bersatu, Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Whip parti, Dr Ronald Kiandee selaku plaintif, pada 15 November lalu melalui firma guaman, Tetuan Chetan Jethwani & Company.
Mereka menamakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, dan lima Ahli Parlimen iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang) sebagai defendan.
Bersatu memohon perisytiharan antaranya Johari melalui surat bertarikh 9 Julai lalu bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit.
Mereka juga memohon perisytiharan mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah oleh mana-mana pihak termasuk tafsiran salah Johari, atau mana-mana Speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri.
Turut dipohon, perisytiharan Johari perlu mematuhi peruntukan 49A(3) dengan memastikan berlaku kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Dewan Rakyat kelima-lima defendan, dan perlu memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari perintah mahkamah.
Selain itu, plaintif memohon perisytiharan, di bawah Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan, peranan dan tanggungjawab defendan pertama adalah untuk ‘memastikan’ lima defendan itu tidak lagi menjadi ahli parti Bersatu dan dengan itu berlaku kekosongan luar
Mereka juga memohon perisytiharan, di bawah Fasal 10.6 Perlembagaan Bersatu, notis bahawa keahlian seseorang ahli telah terhenti seperti diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tidak boleh dipertikaikan oleh defendan pertama.
Antara alasan dikemukakan plaintif dalam saman pemula itu ialah, bermula dari 12 Oktober tahun lalu defendan kedua hingga keenam telah mengalihkan sokongan kepada perdana menteri dan kerajaan.
Menurut plaintif, ia jelas melanggar ketetapan Bersatu / PN untuk tidak menyokong atau menyertai kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Plaintif berkata, perbuatan lima defendan itu walaupun mengakui masih menjadi ahli Bersatu, adalah perbuatan lompat parti, dan mereka memanipulasi undang-undang antilompat parti dengan mengambil kesempatan tidak meninggalkan parti walaupun tindakan mereka jelas melanggar dasar parti.
Menurut plaintif, defendan kedua dan keenam diarah oleh parti untuk menarik balik sokongan kepada perdana menteri, namun walaupun diberi peluang secukupnya, mereka gagal mematuhi arahan.
Kata plaintif, pada 17 Mei lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) mengeluarkan arahan khusus buat defendan menarik balik sokongan itu, tetapi ia tidak diikuti menyebabkan keahlian mereka terhenti.
Seterusnya pada 12 Jun lalu, Bersatu mengeluarkan notis memaklumkan defendan kedua hingga keenam bahawa keahlian mereka terhenti secara serta-merta dan nama mereka dikeluarkan daripada sistem pendaftaran keahlian BERSATU, mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan Bersatu.
“Melalui surat bertarikh 9 Julai lalu, defendan pertama membuat keputusan yang tidak sah dan melangkaui bidang kuasa beliau apabila beliau memutuskan tidak berlakunya kekosongan kerusi Dewan Rakyat bagi kelima-lima defendan itu, yang menyalahi Perkara 49A(1)(a)(ii) dan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Alasan yang diberikan adalah peruntukan Perlembagaan Bersatu dan Arahan Khusus MPT Bersatu bertentangan dan menafikan hak keistimewaan, kebebasan bercakap dan hak mengundi.
“Hakikatnya, ia hanya alasan semata-mata kerana defendan pertama tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan keperlembagaan BERSATU dan Arahan Khusus MPT, yang sebenarnya kuasa hanya pada mahkamah,” kata plaintif.
Nnn
