Penasihat media Hizbullah terbunuh

BEIRUT – Kumpulan Hizbullah, mengesahkan ketua hubungan medianya, Mohammad Afif, terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan di tengah Beirut, semalam.

Serangan di Beirut yang menyasarkan pegawai Hizbullah itu berlaku di kawasan Ras al-Nabaa, di mana ramai penduduk mencari perlindungan selepas dipindahkan dari pinggir selatan akibat pengeboman Israel.

Afif adalah penasihat media yang sudah lama berkhidmat dengan Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan udara Israel di pinggir selatan Beirut pada 27 September lalu.

Beliau pernah menguruskan stesen televisyen milik Hizbullah, Al-Manar, selama beberapa tahun sebelum mengetuai pejabat media kumpulan itu.

Afif sering menjadi tuan rumah sidang media untuk wartawan di tengah-tengah runtuhan di pinggir selatan Beirut.

Dalam komen terakhirnya kepada wartawan pada 11 November lalu, beliau menyatakan bahawa tentera Israel tidak dapat mengekalkan sebarang wilayah di Lubnan, dan Hizbullah mempunyai senjata serta bekalan mencukupi untuk bertahan dalam peperangan yang lama.

Tentera Israel sebelum ini enggan mengulas, namun mengeluarkan kenyataan lewat petang semalam, melaporkan bahawa mereka ‘menyingkirkan’ Afif.

Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan serangan itu turut menyebabkan seorang lagi terbunuh dan mencederakan tiga yang lain.

Dalam serangan kedua yang berasingan berlaku pada hari yang sama di jalan Mar Elias, televisyen Al-Manar milik Hizbullah memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Lubnan menyatakan sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 48 lain cedera.

Nnn

Related posts

Leave a Comment