KUALA LUMPUR 8 Nov. – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng selepas didapati bertanggungjawab memfitnah Pengerusi DAP itu.
Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, mengeluarkan perintah itu ketika membenarkan tuntutan saman fitnah yang dikemukakan Guan Eng selaku plaintif terhadap Muhyiddin (defendan), berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri diperintahkan membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin turut diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan dalam kerajaan PH daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Ketika membacakan penghakimannya, Roz Mawar berkata tingkah laku Muhyiddin adalah tidak wajar kerana beliau mempunyai sumber yang boleh digunakan untuk mengesahkan sama ada pemahamannya betul berhubung fakta (dalam kenyataan berkenaan).
Nnn
