2025 semua restoran mamak tidak jual rokok

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) akan menghentikan penjualan rokok di semua premis mereka menjelang tahun depan, kata Presidennya,  Jawahar Ali Taib Khan.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat agung tahunan persatuan itu baru-baru ini, selaras dengan seruan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan merokok di premis makanan.

“Kami percaya ini adalah langkah yang betul untuk menyokong cadangan kementerian. Kami ingin bekerjasama dengan kementerian untuk menghentikan penjualan rokok di semua restoran ahli kami.

Langkah ini juga akan meningkatkan kesedaran tentang kesan merokok,” katanya.

Menurutnya, kira-kira 50 peratus pengusaha restoran di bawah Presma telah menghentikan penjualan rokok di restoran mereka, dan persatuan melihat perkara ini sebagai langkah ke arah kesihatan dan kebersihan yang lebih baik.

Awal bulan lalu, Jawahar Ali mencadangkan semua restoran mamak tidak menjual rokok susulan penghargaan yang diberi oleh Menteri Kesihatan  Dr Dzulkefly Ahmad kepada restoran di Puncak Alam yang tidak menjual rokok.

“Saya rasa ini satu hala tuju yang baik dalam industri makanan ini. Perumpamaan dia macam ini, kalau kata arak haram, kalau zaman dulu ada kedai masih jual tapi sekarang ini dah tiada dah.

Kalau boleh, restoran ini, kalau nakkan semuanya halal, rokok ini pun kita hindarkanlah dalam masa terdekat ini,” katanya selepas Dr Dzulkefly menyampaikan penghargaan itu semasa program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAS) di Puncak Alam, Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Jawahar Ali berkata, pada mesyuarat agung tahunan itu, pemilik restoran turut membincangkan isu berkaitan kebersihan, menekankan kepentingan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai.

“Presma memberi panduan kepada ahlinya tentang cara memohon Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami menggalakkan pemilik restoran untuk mendapatkan pensijilan Bersih, Selamat, dan Sihat (BeSS) daripada Kementerian Kesihatan bagi memastikan ahli mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa perbincangan juga diadakan mengenai isu peningkatan gaji dan caruman pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kerajaan perlu mempertimbangkan semula peningkatan gaji minimum terutama dalam industri makanan dan minuman memandangkan kami menyediakan makanan dan tempat tinggal yang mencukupi kepada pekerja kami,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment