Gurauan keterlaluan, tiada motif buli

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Siasatan awal mendapati gurauan keterlaluan sebagai motif utama kes seorang pegawai kadet tahun dua Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, ditekap seterika oleh pelajar seniornya 22 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berkenaan tidak mempunyai motif buli sebaliknya berlaku secara spontan antara pelajar junior dan senior.

Rusdi berkata, pihaknya juga tidak melakukan tangkapan terhadap pelaku disebabkan tiada keperluan selepas mendapat keterangan daripada kedua-dua individu iaitu orang ditekap dan pelaku.

“Berdasarkan siasatan, semasa kejadian pegawai kadet yang ditekap dan pegawai kadet menekap seterika sedang berbual dan keluar ayat seperti ini ‘pernah cuba tak’ dan berlakulah tindakan menekap seterika pada badan.

Siasatan juga mendapati tiada sebarang unsur dendam, buli atau pergaduhan antara kedua-dua mereka dan ianya tidak membabitkan individu lain.

“Tindakan ini sebenarnya berbahaya dan tindakan bergurau secara spontan membabitkan objek yang panas tidak harus dibuat,” katanya selepas menghadiri Program Pendekatan Kesedaran Kes Jenayah Seksual dan Penipuan Dalam Talian, di Taman Tasik Metropolitan, Kepong, di sini, hari ini.

Kejadian berkenaan berlaku pada jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu di bilik asrama UPNM ketika mangsa, pegawai kadet tahun dua yang sedang menggosok baju sebelum didatangi pelaku iaitu pegawai kadet tahun empat.

Kes ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim, ketika melawat UPNM Jumaat lalu dan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes berkenaan.

Rusdi berkata pada masa ini siasatan kes berkenaan hampir selesai selepas polis merakam percakapan 16 individu termasuk pegawai kadet yang ditekap dan menekap seterika, rakan sebilik, jurulatih dan perakam video.

Related posts

Leave a Comment