Gariskan dasar lebih jelas – Hamzah

KUALA LUMPUR 21 Okt. –  Belanjawan 2025 perlu digariskan dengan dasar yang lebih jelas dan bukan mengambil pendekatan ‘umum dulu’, kata Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin.

Katanya, tanpa perincian jelas, Belanjawan 2025 akan menimbulkan ketidakpastian dalam ekonomi dan memberi kesan kepada rakyat dan negara.

“Misalnya diumumkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) diperluaskan, tetapi hanya perincian salmon dan avokado diumumkan.

Berapa sebenarnya anggaran hasil yang akan dikutip oleh kerajaan. Berapa peratus yang akan dikenakan kepada salmon dan avokado ni… apakah sudah ada senarai barangan?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Katanya, selain SST, rakyat turut mempersoalkan kenapa mereka dibebankan dengan pelbagai cukai.

“Ada cukai perkhidmatan digital, cukai barang nilai rendah, cukai keuntungan modal, cukai barangan bernilai tinggi dan ada kenaikan cukai kenaikan lapangan terbang.

“Sudahlah banyak cukai-cukai, muncul pula e-invois, pelaksanaannya akan dibuat sepenuhnya bermula 1 Julai 2025, semuanya dilonggok atas pundak rakyat. Bukankah ini beban?” katanya.

Ahli Parlimen Larut itu turut menyentuh pelaksanaan gaji minimum RM1,700, dengan memohon supaya kerajaan mengkaji semula ketetapan gaji minimum RM1,700 yang akan bermula pada Februari 2025.

Katanya, PN bersetuju dengan pelaksanaan gaji minimum, bagaimanapun memohon penguatkuasaan pelaksanaannya ditangguhkan bagi sektor-sektor tertentu.

“Jika dibuat secara penuh, kita bimbang golongan PKS akan menjadi kelompok paling terjejas… sebaiknya berilah tempoh setahun, iaitu bermula 2026 bagi membolehkan pihak industri khususnya pemain PKS membuat penyesuaian dan persediaan.

“Tambahan pula, kontrak yang baru diterima kebiasaannya diperoleh pada pertengahan 2024 dan pengiraan dibuat berasaskan kos buruh pada kadar RM1,500… tetapi dalam masa empat bulan dari sekarang kos operasi mereka melambung yang memungkinkan bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian tetapi tidak mustahil gulung tikar,” katanya.

Menjawab celahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), bahawa pembangkang berbahas seolah-olah tiada benda yang baik dibentangkan dalam Belanjawan 2025, Hamzah sebaliknya mengakui banyak yang baik diumumkan melalui belanjawan itu.

Hassan turut mengambil contoh perkara baik seperti RM13 bilion sumbangan tunai rahmah sumbangan asas rahmah yang akan memberi manfaat kepada 9 juta penerima di samping RM2.78 bilion subsidi dan insentif untuk pesawah dan nelayan.

“Kalau Pasir Gudang dengar ucapan saya daripada mula, saya ucapkan tahniah, banyak yang baik. Tapi saya tidak perincikan satu-satu.

“Yang saya nak sebut ini yang kurang baiklah, supaya memperbetulkan yang kurang baik. Cuba kita lihat minggu lepas, (RUU) kewarganegaraan, baik. Kita sokong 100 peratus,” katanya yang mengakui banyak yang baik tetapi tidak perincikan satu-satu.

Katanya, peranan pembangkang adalah membangkitkan dan memperbetulkan perkara yang tidak baik, yang kurang baik.

Hamzah berkata, PN akan sentiasa menyokong pembangunan infrastruktur yang kondusif dan pemberian bantuan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, belanjawan ini bukan hanya menjadi harapan rakyat biasa tetapi juga pemain industri dan pelabur turut meletakkan harapan begitu tinggi kepada belanjawan ini.

“Kestabilan ekonomi dan polisi yang jelas akan memberikan keyakinan kepada mereka. Berikan beberapa insentif kepada mereka, berikan geran dan akses pembiayaan yang mencukupi, bangunkan infrastruktur dan ekosistem perniagaan yang kondusif.

“Dan kami di pihak sini akan menyokong demi masa depan negara yang lebih baik kerana ia boleh memberikan keyakinan kepada pelabur luar untuk memberi manfaat kepada ekonomi negara,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment