BEIRUT – Lebih banyak penduduk di selatan Lubnan dan 23 perkampungan diarah Israel untuk berpindah ke kawasan di utara Sungai Awali, ketika tentera zionis itu menyasarkan lokasi serangan baharu di utara Lubnan.
Serangan Israel kali ini menyaksikan seorang lagi anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) cedera, dalam konflik yang semakin memuncak dengan Hizbullah yang disokong Iran.
Israel mendakwa pemindahan diperlukan untuk keselamatan penduduk berikutan peningkatan aktiviti Hizbullah dan kumpulan berkaitan menggunakan tapak terbabit untuk menyembunyikan senjata dan melancarkan serangan ke atas Israel.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 37 cedera dalam serangan Israel di tiga kawasan berbeza, antaranya bandar Deir Billa di utara Lubnan, yang tidak pernah diserang sebelum ini.
Lima hospital pula mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel di bandar timur Baalbek dan Lembah Bekaa.
Dalam pada itu, tentera Israel mendakwa Hizbullah melepaskan hampir 320 peluru dari Lubnan semalam dan mengisytiharkan kawasan sekitar beberapa bandar di utara Israel ditutup kepada orang ramai.
Tentera Israel juga mendakwa kampung-kampung di selatan Lubnan yang menjadi sasaran serangan Israel baru-baru ini, kebanyakannya sudah hampir kosong.
Sementara itu, seorang lagi anggota misi pengaman PBB (UNIFIL) di Lubnan, terkena tembakan Jumaat, lalu namun lelaki itu stabil selepas menjalani pembedahan untuk mengeluarkan peluru.
Sebelum ini, dua anggota pasukan pengaman PBB cedera akibat serangan Israel berhampiran menara pemerhati mereka di selatan Lubnan pada Jumaat, mengundang kecaman daripada badan global dan pelbagai negara.
Nnn
