Desakan Amanah ibarat lajak dari laju

SEPANG 29 Sept. – Pemuda Barisan Nasional (BN) menyifatkan kenyataan Pemuda Amanah yang menuntut perkongsian kuasa melalui penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor umpama lebih lajak dari laju.

Setiausahanya Hafiz Ariffin berkata, tidak sampai 24 jam, selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, terus ada tuntutan berkenaan perkongsian kuasa.

“Sewaktu kita bantu Amanah di Pulai dan Simpang Jeram, seluruh keluarga BN hadir dan buat sehabis baik, sehingga menang. Tiada apa-apa tuntutan pun dibuat selepas memenangkan Amanah.

Jangan nanti orang lihat dan merasakan ada sifat “gelojoh” dalam hasrat yang diajukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, apa yang lebih penting adalah hubungan antara negeri dan pusat dalam keadaan baik, begitu juga ruang bicara dan kerjasama antara dua parti juga baik dan patut diutamakan.

“Benarkan kelebihan menang di Mahkota itu dinikmati oleh rakyat dahulu, bukan tuntutan kuasa oleh pimpinan parti yang menang.,” katanya sebagai reaksi kenyataan Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda.

Hashie mengulangi pendirian serta berharap BN di Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat selepas kejayaan besar dalam PRK DUN Mahkota, semalam.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kesepakatan serta kerjasama itu jelas ditonjolkan ketika kempen membantu calon BN memenangi PRK terbabit.

Beliau berkata kemenangan di DUN Mahkota adalah mesej jelas rakyat menolak politik fitnah dan adu domba yang dibawa oleh PN dan penerimaan berterusan rakyat kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan.

“Diharap langkah seterusnya adalah mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang selari dengan Persekutuan di Johor bagi mengekalkan momentum perpaduan dan sokongan rakyat.

Saya menyaksikan kesungguhan jentera pilihan raya dan kempen PH (Pakatan Harapan) terutamanya dari Amanah yang turun dari seluruh negara, bergilir-gilir memastikan mesej perpaduan sampai ke seramai mungkin pengundi di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata , kemenangan BN dengan majoriti besar sebegini tidak akan terhasil begitu saja malah ia adalah usaha keras semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tahniah diucapkan kepada Syed Hussien (Syed Abdullah) yang mencatat kemenangan bergaya di DUN Mahkota semalam mewakili BN,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment