BANGKOK – Thailand menangguhkan pelaksanaan sistem Kebenaran Perjalanan Elektronik (ETA) untuk pelancong asing yang memasuki negara itu tetapi belum menentukan tarikh pelancarannya.
Sistem ETA, yang direka untuk menyelaraskan prosedur imigresen bagi pelawat, pada asalnya dijadualkan dilancar pada Disember 2024.
Kementerian Luar Thailand yang mengumumkan demikian berkata, sistem ETA akan membolehkan pelancong asing dari 93 negara yang diberikan kemasukan tanpa visa dengan mendaftar dalam talian sebelum ketibaan mereka di Thailand.
Kod QR yang mereka terima semasa pendaftaran kemudiannya boleh digunakan untuk melalui pintu imigresen automatik. ETA akhirnya akan digabungkan dalam peralihan Thailand kepada sistem visa elektronik.
Kementerian itu berkata, mereka tetap kekal komited untuk melaksanakan ETA tetapi kini sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk memuktamadkan butiran dan memastikan pelancaran yang lancar.
Pelancong dinasihatkan untuk memantau kemas kini daripada Kementerian Luar dan biro imigresen untuk maklumat terkini mengenai tarikh pelancaran sistem ETA.
