Realisasikan gencatan senjata

NEW YORK – Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menggesa perjanjian gencatan senjata di Gaza yang diusulkan negara itu dengan kerjasama tiga negara pengantara melibatkan Qatar, Mesir dan Turkiye perlu segera direalisasikan.

Katanya, konflik yang berterusan antara rejim Israel dan Hamas ketika ini telah membunuh banyak nyawa yang tidak berdosa dan pada masa sama penyelesaian konflik juga bagi membawa pulang tebusan yang ditawan kedua-dua pihak.

“Orang awam yang tidak bersalah di Gaza sedang melalui keadaan yang sukar dan mereka tidak pernah meminta serta menginginkan perang ini. Walaupun situasi ketegangan terus meningkat, penyelesaian diplomatik masih mungkin dilakukan.

“Malah, ia tetap menjadi satu-satunya jalan menuju keselamatan dan keamanan berkekalan untuk membolehkan penduduk dari kedua-dua negara kembali ke rumah serta sempadan dengan selamat.

Itulah yang sedang kami (AS) usahakan bagi membolehkan ia dicapai,” kata Biden yang membuat penampilan terakhir di pentas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di sini, semalam..

Biden juga menyeru pemimpin global untuk mengelakkan konflik perang yang lebih meluas serta berusaha ke arah penyelesaian dua negara dalam menyelesaikan konflik antara Israel dan Hamas.

Tambahnya, usaha itu akan membolehkan rakyat Palestin hidup dengan aman dalam sebuah negara yang bermaruah dan berdaulat.

Menyentuh tentang konflik di antara Ukraine dan Rusia, Biden sekali lagi mengukuhkan kenyataannya bahawa Washington akan terus menyatakan sokongan kepada Ukraine.

Katanya, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah gagal dalam meneruskan agenda perangnya terhadap Kiev manakala Ukraine masih bebas.

“Apabila Rusia menyerang Ukraine, kami (AS) boleh sahaja berdiam diri dan membantah, tetapi kami memilih untuk bertindak. AS tidak akan berhenti menyokong Ukraine, sehinggalah Ukraine menang dengan perdamaian yang adil,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment