Dewan makan pernah diarah tutup

IPOH 6 Sept. – Dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping yang diserbu Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pernah diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Perak susulan keracunan makanan membabitkan 62 pelajar pada 30 dan 31 Ogos lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, berkata Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) menerima sebanyak 30 notifikasi kes keracunan makanan pada 30 Ogos lalu.

“Ia diikuti 32 kes tambahan pada hari berikutnya dari Klinik Kesihatan Taiping membabitkan pelajar yang tinggal di asrama dalam MRSM Taiping.

Hasil siasatan di lapangan mendapati semua pelajar terbabit berusia antara 16 hingga 17 tahun mempunyai sejarah makan di dewan makan MRSM Taiping dan mengalami gejala sakit perut, cirit-birit, pening, loya, demam serta muntah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PKD LMS juga membuat pemeriksaan premis dewan makan MRSM Taiping pada pukul 11.45 pagi 30 Ogos lalu dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 70.11 peratus.

“Sehubungan itu, pihak PKD LMS mengeluarkan arahan penutupan premis dewan makan MRSM Taiping mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pemeriksaan semula ke atas premis dewan makan MRSM Taiping telah dilakukan pada 2 September 2024 jam 3.15 petang dan mendapati bahawa tahap penilaian pada waktu itu adalah 88.51 peratus dan dibenarkan beroperasi semula dengan penambahbaikan yang dicadangkan.

Sivanesan berkata, sebanyak empat sampel klinikal telah diambil daripada kalangan kes yang bergejala serta dua sampel makanan dan 13 sampel pengendali juga telah diambil pada 30 Ogos untuk dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh bagi tujuan analisis.

“Pejabat kesihatan juga merancang untuk melakukan pemeriksaan premis terbabit secara berkala bagi memastikan pihak pengendali makanan sentiasa mematuhi prosedur pengendalian makanan yang selamat.

“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku kerana kejadian sama pernah berlaku di lokasi berkenaan pada 2018, malah laporan mengenainya kita telah hantar kepada pihak sekolah serta Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, perkara berkenaan akan dipandang serius dan tindakan tegas akan diambil kepada pihak pengusaha.

Terdahulu Pengerusi Mara, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, membuat ‘terjahan’ di Dewan Selera MRSM Taiping semalam, dan membangkitkan mengenai tahap kebersihan serta menu yang dipatuhi untuk pelajar-pelajar.

Related posts

Leave a Comment