KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sebuah pasukan khusus yang dirujuk sebagai ‘Team Sukses UMNO’ perlu ditubuhkan segera bagi menjayakan operasi menarik kembali sokongan rakyat (Bringing Back UMNO), kata Timbalan Presiden Mohamad Hasan
Katanya pasukan yang dianggotai pelbagai segmen profesional mesti dipacu dari satu pusat operasi atau command centre dan mesti diuruskan seperti sebuah entiti perniagaan, bukan entiti peperangan.
Mohamad berkata, pasukan itu disertai ahli statistik, data saintis, pempengaruh media sosial, penyelidik, ahli media, pasukan kreatif dan pelbagai lagi. Matlamatnya hanya satu, menjayakan operasi Bringing Back UMNO.
Fokus utama pasukan sepenuh masa ini ialah melaksanakan pelbagai operasi elektoral bagi UMNO, mengenal pasti setiap pengundi, merangka manifesto, menghasilkan pelbagai strategi kempen, menyemak semua mereka yang berpotensi menjadi calon boleh menang.
“Yang paling utama, mengemudi kempen di persada media sosial,” katanya berucap merasmikan perhimpunan tiga sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.
Hadir sama, Ketua Wanita UMNO, Dr Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Ketua Puteri, Nurul Amal Mohd Fauzi.
Beliau yang juga Menteri Luar berkata, perubahan strategi penting kerana parti ingin pengundi tertarik dan ‘membeli’ semula jenama UMNO.
“Ia memerlukan a business and marketing strategy (strategi perniagaan dan pemasaran), yang bersandarkan consumer behavior (tingkah laku kumpulan sasar),” katanya.
Katanya, UMNO mesti belajar daripada pelbagai pengalaman negara luar untuk menubuh dan mengoperasikan Team Sukses.
“Semuanya dioperasikan dengan kecekapan digital, sokongan data yang komprehensif dan dianggotai oleh profesional dengan pelbagai kepakaran serta latar belakang,” katanya.
Justeru, beliau meminta, sayap Pemuda dan Puteri merangka penubuhan pasukan berkenaan dengan menjadikan ia fokus sebenar gerak kerja untuk tiga tahun mendatang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Beliau juga pada masa sama mahu UMNO perlu mengambil peduli terhadap ‘Generasi Z’ untuk menjamin survival UMNO pada masa akan datang khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Percayalah, kita akan melalui pilihan raya yang lebih sukar dalam masa tiga tahun dari sekarang, malah lebih sukar dari PRU ke-15, jika kita gagal mengurus aspirasi Gen Z ini.
Mereka tidak mempunyai ‘sentimental attachment’ dengan UMNO ini. Atau tidak mempunyai hubungan langsung dengan UMNO.
“Mereka membesar dalam dunia yang menyaksikan UMNO tidak lagi dominan dalam persada politik negara. Tetapi disaingi oleh pelbagai pemain lain dalam landskap politik negara,” katanya.
Menteri Luar itu berkata, mereka menewaskan pelbagai dasar kerajaan dengan hanya serangan yang dipaparkan di skrin media sosial mereka. Bagi mereka, itu adalah ruang paling baik untuk mereka berpartisipasi dalam demokrasi.
“Itulah realitinya, bahawa ‘ruang demokrasi’ kita sekarang ini adalah di persada maya,” katanya.
Mohamad juga menjelaskan dunia turut menyaksikan kejatuhan kerajaan Bangladesh akibat desakan yang berterusan dari generasi muda.
“Media di seluruh dunia, menggelarnya sebagai ‘Generation Z revolution’. Kita juga melihat kebangkitan politik Gen Z ini di pelbagai negara lain. Di Perancis, Iran, Kenya dan banyak lagi.
“Tidak ada fasa dalam peradaban politik, yang menyaksikan gelombang demokrasi digital lebih memberi impak dan cabaran, berbanding waktu ini. Kepada pemuda dan puteri, pastinya parti sangat berharap pada kalian untuk merungkai penyelesaian terhadap cabaran maha besar ini,” katanya.
(Foto umno online)
Nnn
