Lawatan PM raih potensi perdagangan RM8b

NEW DELHI 21 Ogos –  Lawatan rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India berjaya meraih potensi perdagangan dan komitmen pelaburan masing-masing RM8 bilion dan RM4.5 bilion melibatkan pelbagai sektor di negara itu.

Perdana Menteri berkata, potensi itu hasil pertemuan dengan pemain-pemain utama industri negara itu termasuk dalam sektor berkaitan sawit dan produk berkaitan,  bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas, serta bahan alat ganti kapal terbang.

Pada masa sama, lawatan rasmi tiga hari itu turut menyaksikan tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B to B) membabitkan kedua-dua negara dimeterai, selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G to G).

“Nilai perdagangan Malaysia-India pada 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media sebelum kembali ke tanah air sebaik menamatkan lawatan rasmi itu.

Perdana Menteri juga memanjangkan jemputan kepada Presiden dan Perdana Menteri India untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi meneruskan lagi momentum hubungan dua hala.

Tambah Perdana Menteri lagi, beliau juga membincangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh visa yang mana kalau ada sambutan baik daripada kerajaan India untuk berikan kemudahan sama, maka Malaysia juga boleh berbuat demikian.

Ini kerana, katanya selain China, India adalah antara sumber pelancongan utama negara.

“Pelancong India sekarang mencecah hampir 800,000 orang dan kita mengharapkan unjuran jumlah ini meningkat kepada sejuta pelancong,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat bersama dengan pemain dan peneraju pelbagai industri dari pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia dan elektronik, selain bidang seperti pembuatan insulin, logistik dan farmaseutikal.

Sebelum berlepas pulang Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam iaitu Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Masjid Jama dan Maulana Mahmood A Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.

Beliau disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Menteri Digital, Gobind Singh.

Nnn

Related posts

Leave a Comment