MELAKA 20 Julai – Mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada UMNO menjadi keutamaan terlebih dahulu berbanding berada di dalam Kabinet, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu menegaskan selagi kepercayaan berkenaan belum diperoleh semula, beliau akan memilih untuk berada di luar Kabinet Kerajaan Persekutuan.
“Terima kasih kepada UMNO Bahagian Subang atas cadangan dan penghargaan yang diberikan kepada saya. Namun, saya memilih untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti dengan berada di luar Kabinet.
Bukan jawatan yang dikejar tetapi kepercayaan rakyat kepada parti menjadi keutamaan saya buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dr Muhamad Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin, mengulas usul khas UMNO Bahagian Subang supaya beliau dilantik sebagai menteri.
Terdahulu, Ketua UMNO Bahagian Subang, Arman Azha Abu Hanifah, dilapor mencadangkan semua UMNO bahagian yang belum mengadakan mesyuarat, supaya menjadikan usul khas itu sebagai usul rasmi dalam mesyuarat bahagian masing-masing.
A Arman Azha dipetik berkata, beliau melihat sudah dua penggal Ketua Pemuda UMNO tiada diberikan peluang, ruang dan juga tanggungjawab untuk menggalas jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri.
Nnn
