Doa selamat istiadat pertabalan

KUALA LUMPUR 18 Julai – Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara petang ini membuka tirai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.

Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah tiba pada pukul  5.18 petang disambut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merangkap Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong ke-17 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Majlis itu adalah acara pertama daripada tujuh acara yang dirancang sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sabtu ini.

Bacaan itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Ahmad Hosni serta dihadiri sekitar 1,500 tetamu.

Acara lain yang turut dirancang untuk menyemarakkan lagi istiadat penting ini termasuk bacaan Khutbah Jumaat Khas yang menekankan kepentingan institusi Raja Berperlembagaan.

Selain itu, turut diadakan Majlis Santapan Diraja yang bakal menghimpunkan ketua-ketua negara, pemimpin-pemimpin utama, pewaris takhta serta anggota monarki dari seluruh pelusuk dunia.

Dalam pada itu Fahmi berkata, antara tetamu undangan khas yang dijadual akan hadir pada Istiadat Pertabalan Baginda adalah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.

Acara Istiadat Pertabalan, akan diakhiri dengan Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai.

Related posts

Leave a Comment