‘Drama UMNO’ kurangkan risiko kehilangan ahli

SEPANG 14 Julai – Seorang pemimpin Pas menyifatkan kenyataan beberapa Ketua UMNO Bahagian di Johor yang meminta agar kerjasama dengan DAP dikaji semula hanyalah sebagai drama semata-mata.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kenyataan itu hanya bertujuan untuk mengurangkan risiko kehilangan ahli dan pengundi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Yang muktamadnya ialah pandangan Tuan Presiden. Janganlah tertipu,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Md Jais Sarday menyatakan bahawa kerjasama UMNO dengan DAP pada dasarnya tidak banyak memberikan manfaat kepada UMNO serta BN.

Malah katanya, hubungan tersebut dilihat merugikan UMNO yang memperjuangkan hak dan kepentingan orang Melayu.

Pandangan sama turut disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Dr Adham Baba yang melihat hubungan tersebut penting dilihat semula untuk kelangsungan politik UMNO terutama untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

UMNO Bahagian Tenggara turut mengusulkan agar pucuk pimpinan mengkaji kembali hubungan dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan kini.

Pada 30 Jun lalu, Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Related posts

Leave a Comment