Bendung penggunaan rokok elektronik

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja termasuk murid sekolah dilihat berada pada tahap kritikal, manakala penjualannya tidak lagi dapat dibendung.

Pegawai Pendidikan Kanan dan Aktivis Anti Merokok CAP, NV Subarow berkata, vape bukan sahaja dijual di ribuan kedai seluruh negara berhampiran kawasan sekolah dan perumahan malahan di kaki lima tanpa lesen serta menerusi mesin layan diri.

Justeru CAP meminta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengotakan janji berkaitan peraturan penjualan rokok elektronik atau vape.

“Tinjauan CAP mendapati ramai pelajar membeli perisa vape menerusi jualan dalam talian. Tiada had umur untuk membeli barangan nikotin itu dalam pelbagai platform.

“Kementerian Kesihatan (KKM) seharusnya bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk tidak memberi lesen kepada kedai baharu yang mahu dibuka di kawasan berhampiran perumahan dan sekolah.

Sesiapa yang melanggar peraturan mesti didakwa di mahkamah dan tiada kompaun dikeluarkan. Peraturan baharu ini jika dilaksanakan lebih awal akan menyelamatkan ribuan generasi muda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Subarow berkata disebabkan perisa vape itu turut dikeluarkan dengan rasa buah-buahan, ia menarik minat pengguna walaupun ia sebenarnya mengandungi nikotin.

“Generasi muda terutamanya golongan wanita mula ketagih dengan perisa berkenaan dan menjadikan rokok itu sebagai budaya mereka. CAP menggesa KKM untuk melaksanakan peraturan baharu dan mengeluarkan larangan sepenuhnya terhadap vape dan e-rokok,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment