KUALA LUMPUR 1 Julai – Selepas tiga hari berlari sejauh 200 kilometer (km), inisiatif ‘Langkah Muar’ Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM160,000 setakat pagi ini.
Inisiatif mengumpul peruntukan bagi Parlimen Muar itu menarik perhatian lebih 2,000 rakyat Malaysia untuk menderma.
Ketika ditemui di luar Parlimen, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menzahirkan penghargaan kepada pihak yang sanggup menyumbangkan wang tunai kepadanya walaupun nilainya kecil.
Beliau juga berharap apa yang dilakukannya dapat membuka mata semua pihak tidak kira kawasan Parlimen, berhubung isu diskriminasi peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang masih berlarutan sehingga kini.
“Usaha kecil ini saya mulakan di Muar. Jangan guna lagi alasan rundingan itu, rundingan ini kerana rundingan sudah berlaku berkali-kali, bukan sekali dua bahkan sudah hantar surat tiga kali.
“Ini bukan soal rundingan tapi soal politik balas dendam sehingga menghukum rakyat susah di kawasan pembangkang. Perkara ini salah dan kena tentang bersama,” katanya.
Beliau berkata bukan saja sumbangan menerusi dalam talian saja diterima bahkan ada yang sanggup berjumpanya secara bersemuka untuk menyerahkan wang tunai sewaktu sedang berlari.
“Bukan sekadar sumbang dalam talian kerana sambil saya berlari, ramai berhenti bagi RM20, RM50, RM100, bakkan ada yang beri RM1. Amat luar biasa sekali kerana mereka tak pernah jumpa saya secara fizikal.
“Ada juga tak pernah jejak kaki di Muar pun ada tapi saya lihat mereka in ada aspirasi yang sama, bukan sekadar (tertumpu) di Muar tapi Malaysia secara keseluruhannya.
“Apa adalah (demi) rakyat Malaysia (selaku) pembayar cukai tetap. Mereka kena dapat keadilan dan janganlah hukuman mereka kerana warna politik,” katanya.
Syed Saddiq memulakan inisiatif ‘Langkah Muar’ pada Jumaat lalu sebagai tanda protes terhadap kerajaan berikutan menafikan peruntukan bagi Parlimen pembangkang.
Beliau berlari sejauh 200 km bermula dari Muar ke Parlimen untuk meraih dana bagi pusat khidmatnya di kawasan tersebut.
Nnn
