Semua calon 10A dapat tempat

KUALA LUMPUR 30 Jun – Semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan cemerlang 10A dan ke atas serta memohon melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, akan mendapat tempat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, keputusan yang dicapai Jemaah Menteri pada Jumaat lalu itu membuka peluang kepada semua tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kuota sedia ada bagi pelajar Bumiputera dalam Program Matrikulasi bawah Kementerian Pendidikan (KPM), tidak terjejas dan kekal sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar yang mencatat kejayaan (mendapat) 10A atau lebih di semua aliran persekolahan, mereka tanpa kecuali harus diberi jaminan tempat oleh kerajaan supaya mereka tidak dipinggirkan atau ketinggalan.

“Dengan cara ini, kita dapat meleraikan masalah sementara supaya semangat perpaduan dalam kaum dapat dipupuk serta ditanam bibit (cintakan negara). Saya tidak mahu lagi perkara ini dijadikan sebagai isu kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kemuncak Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak mahu keputusan berani yang diambil oleh Kerajaan MADANI itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pihaknya sudah menyelesaikan masalah yang dialami dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau bangga dengan sambutan memberangsangkan oleh golongan muda terhadap program NTW, malah ia sekali gus menunjukkan mereka wajar diberi ruang dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata, ia selari dengan pendekatan ekonomi negara bagi memacu pertumbuhan lebih tinggi dan menarik peluang pelaburan.

“Ini maknanya kalau kerajaan memberikan peluang, anak-anak muda tidak mempersiakan.

“Usaha dibuat Kementerian Sumber Manusia dan HRD Corp ini telah memberi jaringan lebih luas, khususnya membabitkan kawasan pedalaman tanpa mengira kaum,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment