Rafizi jangan peningkan kepala PMX – Tuan Ibrahim

SEPANG 30 Jun – Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli supaya tidak memeningkan kepala Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai kenyataan termasuk isu air.

Katanya, adalah lebih baik Rafizi “pecah kepala” memikirkan bagaimana untuk membantu Perdana Menteri meyelesaikan kemelut ekonomi dan kos sara hidup dengan mengguna segala formula yang dibentang kepada rakyat sebelum ini.

“Saya bersimpati dengan Perdana Menteri (PMX) pada masa ini. Betul lah seperti yang disarankan oleh YB Alor Setar (Afnan Hamimi Taib Azamudden) dalam parlimen baru-baru ini dan diakui PMX, jemaah Menteri yang ada sekarang tidak kompeten.

Timbul juga persoalan, adakah semua yang beliau buat ketika ini seolah-olah ingin mensabotaj “boss” beliau, iaitu PMX agar rakyat terus marah kepada PMX? Hanya beliau yang tahu kebenarannya,” kata Tuan Ibrahim melalui Facebooknya.

Tuan Ibrahim menarik perhatian Rafizi yang didakwanya cuba mempolitikkan isu air termasuk di Sungai Bakap dengan mengaitkan peranan beliau semasa menjadi Menteri Air dan Alam Sekitar, ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata Rafizi seharusnya tahu dan dapat membezakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam soal membabitkan isu air kepada penduduk Sungai Bakap.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WASIA) 2006 (Akta 655) menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hanya memiliki aset-aset air, manakala negeri bertanggungjawab menguruskan sumber air.

“Selain itu, kerajaan negeri melalui pengkorporatan syarikat air negeri akan terus menjalankan perkhidmatan air kepada rakyat. Maka isu pengagihan dan bekalan air kepada rakyat di Sungai Bakap adalah di bawah tanggungjawab negeri,” katanya.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan, jika Rafizi mahu membangkitkan soal bekalan air di Kelantan, perkara itu disebabkan Kelantan tidak mempunyai tempat takungan air atau empangan sejak sekian lama.

Katanya, selepas puluhan tahun keadaan itu berlaku, Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) ketika pentadbiran PN telah meluluskan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang bernilai RM1.3 bilion.

Beliau turut bersyukur apabila dimaklumkan bahawa projek itu akan diteruskan meskipun selepas peralihan Kerajaan Pusat daripada PN pada akhir 2022.

Berhubung isu air di Sungai Bakap, Tuan Ibrahim melihat apa yang diutarakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini adalah lebih kepada ingin membantu kerajaan Pulau Pinang.

“Tidakkah dengan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah yang bersedia menjual bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar bakal menyelesaikan isu air yang berlaku khususnya di Sungai Bakap dengan segera dan lebih praktikal?

“Atau selepas ‘rahsia’ isu air di Sungai Bakap ini bocor, Yang Berhormat Rafizi dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terasa bahangnya akibat selalu menjadikan isu air ini sebagai modal politik?” soalnya.

Sebelum ini, Rafizi ketika menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berkata Timbalan Presiden Pas yang ketika itu menjawat tugas Menteri Air dan Alam Sekitar seharusnya lebih tahu dan tidak mengabaikan masalah berkenaan di Sungai Bakap.

Nnn

Related posts

Leave a Comment