BUKIT GANTANG – UMNO bahagian Bukit Gantang sudah ada calon sendiri bukannya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan berkenaan.
Ketua UMNO bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie, berkata UMNO bahagian tidak memerlukan penyandang sekarang (Syed Abu Hussin) yang melakukan pengkhianatan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.
“Pengkhianatan dibuat beliau masih lagi kami terasa dan berdarah jadi untuk menerima beliau sebagai calon mewakili BN dan UMNO adalah mustahil.
Nak patah balik kepada UMNO boleh tetapi sebagai ahli biasa, tolong saya pacak bendera, bukan sebagai calon,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bukit Gantang di Dewan Bukit Gantang di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika PRK diadakan di kawasan Parlimen Bukit Gantang kelak.
Mohammad Sollehin berkata, sekiranya PRK berlaku di Bukit Gantang, UMNO bahagian itu mahu meletakkan calon pilihan mereka sendiri iaitu Naib Ketua Bahagian, Ahmad Saidi Mohamad Daud.
“Kami sudah ada calon, yang sebenarnya kami sediakan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun kami akan menggunanya jika berlaku PRK di sini.
“Sekiranya mimpi ngeri berlaku di mana pihak atasan mahu letakkan calon lain atau Syed Abu Hussin di sini, maka kami tidak akan memberikan sebarang komitmen.
Sebagai ketua bahagian di sini, saya tak terima orang seperti ini dan ini kerja gila, kita nak tolong orang yang pernah khianat kita,” katanya.
Terdahulu, Syed Abu Hussin dalam sidang media di pejabatnya di sini, menyatakan kesediaan bertanding mempertahankan jawatan sebagai Ahli Parlimen bagi kawasan P059 itu sekiranya PRK diadakan, namun beliau belum memutuskan parti yang akan beliau wakili.
