KUALA LUMPUR 29 Jun – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengingatkan kerajaan bahawa GIP BlackRock akan menjadi salah satu pemegang saham utama MAHB yang mempunyai pengaruh besar dalam proses merencana keputusan berhubung semua isu penting MAHB pada masa hadapan.
Melalui satu memorandum, PUTRA menegaskan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP Blackrock perlu ditentang kerana ia berpotensi menimbulkan risiko besar terhadap Malaysia, sama ada dalam hal berkaitan keselamatan, mahupun dari perspektif ekonomi yang boleh membawa ancaman kepada negara ini.
Lebih membimbangkan PUTRA tentang perancangan pihak luar menguasai prasarana negara pada masa hadapan termasuk lapangan terbang, lebuh raya, bangunan, pembekal tenaga dan pembekal air di mana akhirnya mereka dapat menentukan harga perkhidmatan yang digunakan.
Justeru, mereka yang bertanggungjawab dalam kerajaan digesa membuat keputusan yang betul secara bermoral dan beretika mengikut apa yang terbaik untuk negara supaya prasarana negara akhirnya tidak ‘dikuasai’ pihak luar.
PUTRA menolak pertimbangan kerajaan dalam mewajarkan penjualan saham itu hanya kerana syarikat yang dikaitkan dengan pembunuhan kejam beramal-ramai orang Palestin di Gaza sebelum ini telah membeli saham syarikat-syarikat Malaysia lain, yang majoriti tidak melebihi 3 peratus.
“Ia adalah seperti berkata, mereka telah merompak sebuah rumah sebelum ini, jadi mengapa tidak biarkan mereka merompak seluruh kampung?”.
Garis pertimbangan dan cara berfikir seperti ini adalah penghinaan terhadap kecerdasan pemikiran rakyat Malaysia. Kita semua maklum BlackRock secara langsung terlibat dalam pembunuhan kejam beramai-ramai orang Palestin di Gaza,” menurut memorandum yang dihantar kepada tiga pihak berkenaan.
Semalam Memorandum Bantahan Penjualan Saham MAHB Kepada GIP BlackRock itu dihantar ke pejabat Perdana Menteri oleh kumpulan diketuai Naib Presiden PUTRA Datuk Asmawar Samat manakala Ketua Wira PUTRA Nasrul Ali Hasan Abdul Latif mengetuai penerahan memorandum kepada Khazanah Nasional Berhad.
Memorandum sama turut disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAHB oleh kumpulan yang diketuai Ketua Penerangan PUTRA Shahrulufti Sharif.
Melalui memorandum itu, PUTRA mengakui BlackRock membeli saham dalam beberapa syarikat Malaysia sebelum ini tetapi pembelian itu berlaku sebelum tindakan kejam pembunuhan beramai-ramai di Gaza sejak 7 Oktober 2023.
Hanya empat syarikat di mana BlackRock mempunyai lebih daripada 3 peratus saham iaitu TNB (7.35%), CIMB Group (9.57%), Maybank (11%), dan Public Bank, syarikat yang bukan berkaitan dengan Kerajaan atau GLC memiliki 12 peratus.
Maka, jumlah sebanyak 30% saham MAHB yang kerajaan semasa bercadang untuk menjual kepada GIP BlackRock adalah jauh lebih besar daripada peratusan pegangan mereka dalam Public Bank.
“Pada masa ini, pemegang saham terbesar MAHB mempunyai 40% daripada saham syarikat itu dan dari segi strategik, ia memerlukan satu atau lebih pemilik saham lain untuk menjual hanya 11% daripada saham mereka kepada GIP BlackRock, dan boleh menjadi pemegang saham terbesar MAHB,” kata memorandum itu.
PUTRA juga menegaskan sebagai syarikat yang menguntungkan dan tidak pernah mencatat kerugian, langkah membenarkan GIP BlackRock memperoleh pegangan 30% saham dalam MAHB adalah tidak mempunyai asas kebijaksanaan.
“Seandainya MAHB mengalami kerugian sekalipun (yang tidak berlaku setakat ini), kita tidak perlu menjual sahamnya kepada entiti asing yang pro-Zionis, GIP BlackRock kerana banyak syarikat lain yang menguntungkan di Malaysia,” kata PUTRA yang menarik perhatian mengenai KWSP, KWAP, PNB dan Tabung Haji.
Berhubung soal keselamatan yang dikaitkan dengan pemilikan saham itu, PUTRA menjelaskan MAHB mengendalikan dan menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia, di mana lima di antaranya ialah lapangan terbang antarabangsa.
Secara tidak langsung GIP BlackRock akan dapat memiliki pengaruh langsung dan kawalan apa yang masuk dan keluar dari atau ke negara kita serta mempunyai akses dan kawalan ke atas semua pusat kawalan udara, dan semua sistem radar pengawasan udara negara yang berada di bawah seliaan MAHB.
“Kita tidak boleh begitu alpa dan naif untuk berfikir bahawa memberikan sebarang pengaruh, kawalan atau akses kepada aset-aset ini kepada entiti asing, pro-Zionis tidak akan membahayakan keselamatan negara kita,” kata PUTRA.
Dari perspektif ekonomi pula, PUTRA menarik perhatian mengenai Sidang Kemuncak Kumpulan G7 di Itali pada awal Jun 2024 di mana ia turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden serta eksekutif dari beberapa syarikat besar, termasuk BlackRock.
PUTRA mendakwa mesyuarat itu membincangkan secara terperinci dasar-dasar yang bakal mereka laksanakan untuk menjadikan orang kaya menjadi lebih kaya di samping mengesahkan komitmen mereka untuk mempercepatkan inisiatif perkongsian untuk Infrastruktur dan Pelaburan Global (PGI).
Nnnmm
