Hukuman tanpa ihsan, Sultan Selangor murka

SHAH ALAM 26 Jun – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) menghukum Selangor FC kerana ketidakhadiran skuad Gergasi Merah itu pada perlawanan Piala Sumbangsih pada 10 Mei lalu.

Baginda menyifatkan keputusan MFL itu sebagai tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.

Titah baginda hukuman denda sebanyak RM100,000, bayaran pampasan kerugian ditanggung tuan rumah dan MFL, pemotongan tiga mata serta hukuman menjalankan perlawanan (LS14) tanpa penonton adalah tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan sudah diberikan kepada pasukan lawan.

Dalam titah kenyataan itu, baginda amat kecewa dan sangat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta ahli-ahli Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

“Beta terkejut dan kecewa kerana Dato’ Hamidin langsung tidak serius bersuara padahal beliau sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013 dan berpengalaman dalam arena bola sepak Selangor serta menerima darjah kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) daripada Beta,” titah baginda.

Semalam, Selangor FC dikenakan empat bentuk hukuman susulan tindakan pasukan itu ‘tidak hadir’ pada aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baginda menarik perhatian bahawa pada 5 Mei lalu, satu kes jenayah serangan asid yang mengancam nyawa menimpa ikon bola sepak Selangor dan Malaysia, Faisal Halim disusuli insiden terhadap pemain bola sepak profesional juga berlaku.

Susulan insiden itu, baginda memberi perkenan kepada pihak Selangor FC untuk menghantar permohonan penangguhan perlawanan Piala Sumbangsih kerana pemain Selangor FC masih dalam keadaan trauma dan ketakutan.

Bagaimanapun, MFL menolak permohonan penangguhan tersebut dan memberi kemenangan 3-0 serta kejuaraan Sumbangsih kepada pihak lawan.

“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman FAS diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah beta saksikan keadaan seperti sekarang ini.

“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan. Lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.

Menurut Sultan Selangor lagi, baginda juga pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.

“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC.

“Beta kini hanya berperanan sebagai Penaung dalam FAS. Namun jika Beta peneraju kepimpinan FAS dan Selangor FC, beta tidak teragak-agak untuk menarik keluar pasukan Selangor daripada Liga Super untuk tempoh masa tertentu,” titah Sultan Sharafuddin.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan MFL untuk membuat keputusan dengan berhati-hati.

Titah baginda, bola sepak adalah sukan yang digemari dan menyatupadukan rakyat Malaysia berteraskan semangat kesukanan yang tinggi.

“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini. Beta ingatkan kepada MFL, buatlah keputusan dengan berhati-hati,” titah baginda.

Nnn

Related posts

Leave a Comment