Anwar, Muhyiddin tamatkan ‘pertikaian

KUALA LUMPUR 14 Jun – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri,  Muhyiddin Yassin bersetuju untuk menamatkan pertikaian peribadi antara mereka membabitkan dua saman fitnah di Mahkamah Tinggi.

Menurut kenyataan bersama yang dikongsikan dalam Facebook masing-masing, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kesan saman fitnah kepada umum serta mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara yang perlu diutamakan terutamanya soal kelangsungan kehidupan rakyat.

“Kami merakamkan penghargaan kepada Hakim Mahkamah Tinggi dan pegawai-pegawai Mahkamah yang terbabit. Kami juga berharap keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, mereka bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang  terkait perkara terbabit.

“Kami berharap agar perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh mengganggu gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada Institusi Kehakiman Negara,” katanya.

Sebelum ini,  Muhyiddin mengemukakan saman terhadap Anwar dengan mendakwa Perdana Menteri memfitnahnya membabitkan isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Muhyiddin menuntut ganti rugi teladan dan teruk masing-masing sepadan dengan jumlah RM200 juta pampasan yang dituntut Anwar dalam jawapan kepada surat tuntutannya.

Anwar pula memfailkan saman terhadap Muhyiddin berhubung ucapan berbaur fitnah mengenai dakwaan Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta ketika berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa membuat kenyataan itu dalam ucapan ketika ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada kempen pilihan raya di Taman Selasih, Kulim pada 5 Disember 2023.

Nnn

Related posts

Leave a Comment