PUTRAJAYA 7 Jun – Ribut petir dan hujan lebat terutamanya pada sebelah petang dijangka berlaku di kebanyakan negeri mulai hari ini hingga Ahad.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang mengeluarkan amaran itu menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di Perlis dan Kedah membabitkan daerah di Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
METMalaysia turut meramalkan ribut petir dan hujan lebat di sekitar Pulau Pinang serta Perak di daerah Kerian, Larut, Matang dan Selama.
Cuaca buruk turut menjejaskan Sarawak iaitu di Kuching (Bau dan Kuching), Sibu (Selangau), Mukah (Matu, Dalat dan Mukah), Kapit, Bintulu dan Miri (Telang Usan).
Sabah pula membabitkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort dan Keningau), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Kudat (Kota Marudu dan Kudat)serta Labuan.
Pada Sabtu, kebanyakan kawasan di Semenanjung diramal hujan dan ribut petir termasuk di Perak, Kelantan dan Terengganu manakala di sebelah malam, hujan diramal di beberapa kawasan di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Sementara di Sarawak pula, ribut petir dijangka di kawasan Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang manakala Sabah pula diramalkan di kawasan pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan.
Pada Ahad pula, MetMalaysia meramalkan ribut petir di beberapa tempat kawasan pantai termasuk di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Perlis, Kedah dan Pahang.
Sarawak dijangka mengalami ribut petir di beberapa kawasan termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Kapit, Bintulu, Mukah, Miri dan Limbang selain Sabah membabitkan Sandakan dan Kudat.
Nnn
