TEHRAN: Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, 85 menzahirkan pujian terhadap tindakan Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Khamenei menegaskan serangan kumpulan pejuang itu ‘adalah tamparan penentuan terhadap rejim Zionis, sekali gus meletakkan Israel dalam laluan yang hanya akan berakhir dengan kemusnahannya.’
Katanya, serangan itu ‘berlaku tepat pada masanya’ serta ‘menghancurkan satu konspirasi besar antarabangsa terhadap Asia Barat’ – dilihat sebagai berkemungkinan merujuk kepada langkah diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk mendorong hubungan diplomatik antara Israel dengan kuasa Arab.
“Rejim Zionis sedang beransur-ansur lebur di depan mata penduduk dunia. Lambat-laun, AS akan terpaksa menarik balik sokongannya.” katanya di hadapan ribuan rakyat yang berkumpul di makam pengasas Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, sempena majlis memperingati 35 tahun pemergian pemimpin itu.
Sementara itu di BEIRUT, kumpulan pejuang Hizbullah semalam melancarkan skuadron dron ke arah ibu pejabat tentera Israel dalam pertempuran rentas sempadan yang semakin sengit antara kedua-dua pihak.
Mereka turut melancarkan puluhan roket Katyusha ke atas sasaran Israel di Bukit Golan.
Tentera Israel mendakwa bahawa pihaknya berjaya memintas satu dron dari Lubnan yang membawa bahan letupan, manakala sekurang-kurang dua lagi jatuh di utara Israel.
Serangan dron serta roket secara berterusan sejak Ahad lalu dilapor telah mencetuskan kebakaran hutan yang besar di utara Israel.
