KUALA LUMPUR 29 Mei – Pemandu kenderaan e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal keselamatan rombongan kenamaan di lobi sebuah hotel ibu negara semalam, telah menarik balik laporannya pada hari yang sama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dalam satu kenyataan hari ini berkata, individu berkenaan, yang juga orang kurang upaya (OKU), telah membuat laporan polis kedua untuk menarik balik laporan polis pertama.
“Pada 28/05/2024, jam lebih kurang 9.59 malam pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik, serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam satu kenyataan media.
Rusdi berkata, pihaknya menerima satu laporan polis, pada 28/05/2024, lebih kurang 1.00 petang oleh pengadu yang merupakan pemandu Grab yang mendakwa diserang oleh individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
“Kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata seorang pengawal pengiring kepada orang kenamaan (VVIP), disiasat polis kerana disyaki memukul seorang lelaki kurang upaya bisu dan pekak di sebuah hotel dekat KL Sentral semalam.
Katanya, mangsa OKU berusia 46 tahun itu yang juga pemandu e-hailing dipukul ketika berada di lobi hotel berkenaan.
“Saya sahkan, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Pada masa ini, tiada sebarang tangkapan dibuat. Kita sedang menyiasat kes berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Kejadian berlaku ketika mangsa menerima tempahan untuk mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pada pukul 11.40 pagi.
Ketika menunggu penumpang di lokasi terbabit, rombongan kenamaan itu juga hendak bergerak keluar dari hotel sama.
Seorang pengawal pengiring VVIP terbabit dikatakan bertindak mengetuk cermin kereta mangsa mengarahnya beredar dari lokasi terbabit. Pengawal itu juga didakwa menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan keretanya.
Susulan kejadian itu, mangsa diarah oleh polis menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Polis juga mengambil telefon mangsa dan kamera papan pemuka kereta digunakan bagi membantu siasatan.
Nnn
