KUALA LUMPUR 27 Mei – Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mengelakkan kerugian hampir mencecah RM2 bilion hasil Ops Power bagi membanteras operasi perlombongan bitcoin, dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, kerjasama SPRM dan TNB itu berjaya mengelakkan kerugian lebih besar pada masa depan serta meminimumkan jenayah perlombongan bitcoin.
Katanya, agensi seperti TNB mempunyai limitasi kuasa untuk mencegah jenayah sedemikian dan memerlukan penguat kuasa seperti SPRM untuk membantu.
“Jenayah perlombongan bitcoin yang berleluasa sekitar dua tahun itu dapat ditumpaskan apabila TNB sendiri menyalurkan maklumat kepada kita.
Ini kerana, agensi seperti TNB mempunyai kekangan kuasa dan SPRM membantu dalam menguatkuasakan undang-undang, membuat rampasan serta mengemukakan pertuduhan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Azam berkata, agensi besar tidak boleh bertindak secara ‘ in a silo’ apabila membabitkan kerugiaan yang bernilai tinggi, yang akhirnya akan merugikan kerajaan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat negara.
“Perlu ada tindakan bersama, contohnya kerjasama antara SPRM dan TNB ketika itu, dinilaikan sejumlah RM2 bilion dan saya percaya kita sudah menyelamatkan hasil TNB sebanyak RM2 bilion.
“Tindakan dan kerjasama ini juga bukan sekadar bersama TNB tetapi SPRM juga bekerjasama sedemikian dengan pelbagai agensi lain seperti Jabatan Imigresen,” katanya.
Ops Power 2022 mendedahkan kecurian arus elektrik hasil daripada perlombongan bitcoin yang menyebabkan TNB kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021.
Melalui operasi itu, SPRM mengesan ada suspek menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB dengan balasan supaya tidak diambil sebarang tindakan dan membocorkan maklumat operasi TNB.
SPRM berjaya merampas RM2.37 juta membabitkan 998 premis bitcoin, membekukan aset berjumlah RM4.47 juta milik 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank serta menyita 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.34 juta.
Turut dirampas, lima buah kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi.
Caption
Megat Jalaluddin Megat Hassan (kiri) bersama Azam Baki (tengah) dan Abdul Razib Dawood. – Foto Suruhanjaya Tenaga
