Serangan balai: Tiada rakyat Singapura ditahan
KUALA LUMPUR 18 Mei – Tiada warganegara Singapura ditahan berhubung siasatan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor semalam.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, tujuh individu yang ditahan reman tujuh hari sehingga 24 Mei merupakan warga tempatan.
“Semua ditahan adalah warga tempatan, tiada (warga Singapura) seperti dilaporkan,” katanya pada Sabtu.
Terdahulu , media tempatan melaporkan tujuh individu termasuk seorang warga Singapura ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit.
Mereka yang direman itu melibatkan lima ahli keluarga suspek termasuk bapanya selain dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, polis mengenal pasti suspek yang menyerang balai polis itu tiada kaitan dengan kumpulan pengganas.
Razarudin berkata kenyataan awal yang mengaitkan suspek sebagai ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) adalah susulan bapa lelaki itu ada pengalaman dengan kumpulan pengganas tersebut.
Beliau berkata data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati bapa suspek yang berusia 62 tahun itu merupakan ahli kumpulan JI.
Dia (suspek) bukan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tiada kaitan dengan JI, dia bukan ke arah itu (terbabit dengan kumpulan pengganas),” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Razarudin menjelaskan setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif serangan.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi Jumaat, dua anggota di Balai Polis Ulu Tiram, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, maut manakala seorang lagi anggota parah.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak itu kini dilaporkan stabil selepas dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Suspek bersenjata parang yang tinggal di Kampung Sungai Tiram berusia 21 tahun itu datang ke balai berkenaan dengan menaiki motosikal.
Nnnn
