HULU SELANGOR: Perikatan Nasional (PN) yakin calonnya mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei ini, kata Pengerusinya Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata calonnya Khairul Azhari Saut dari Bersatu yang dipertaruhkan sebagai calon adalah pemimpin anak tempatan yang berpengalaman luas serta dekat dengan masyarakat.
“Walaupun Selangor dipimpin Kerajaan Perpaduan tetapi kita minta pengundi Kuala Kubu Bharu memberi peluang kepada kita supaya suara yang lebih lantang dibawa ke dalam sidang DUN bagi mengetengahkan pelbagai isu dan masalah yang berkait rakyat tempatan.
Banyak isu cukup membebankan rakyat, di hadapan saya ini petugas media, tetapi (anda) tetap rakyat biasa yang paling ketara menghadapi masalah subsidi, kos sara hidup, kenaikan harga barang, masalah cukai yang bertambah enam kepada lapan peratua serta banyak lagi isu tempatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada calon PN yang bertanding pada PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata, jentera kempen PN yang diketuai Mohamed Azmin Ali akan dimulakan di semua peringkat.
“Harapan saya, beri sokongan sebanyak-banyaknya kepada calon PN kerana bagi kami, ini masa amat sesuai selepas rakyat menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“PRK ini satu peluang kepada kita (PN) memperoleh maklum balas sebuah referendum mengenai pendirian rakyat dan kerajaan yang ada pada hari ini baik di peringkat negeri atau Persekutuan,” katanya.
Muhyiddin berkata, selain itu isu mencengkam rakyat iaitu isu rasionalisasi minyak yang dikatakan akan diteruskan bak menyaksikan harga minyak meningkat sehingga 60 sen hingga 80 sen seliter.
“Saya sudah menyuarakan di Parlimen supaya ia tidak dilaksanakan lagi, kerana kerajaan patut sedar mengenai bebanan rakyat, prestasi mata wang ringgit merudum menyebabkan bebanan rakyat bertambah,” katanya.
Nnn
