NAHAS di kawasan sekolah berulang lagi. Anak-anak yang menjadi korban nahas di depan mata ibu bapa atau cacat sepanjang hayat bukanlah satu dua kes atau baharu seminggu dua. Apabila berlaku kemalangan, berbagai-bagai reaksi timbul. Pelbagai pandangan dilontarkan kononnya mahu mengelakkan kemalangan berulang. Hakikatnya, kata orang sekali air bah sekali pantai berubah. Maksudnya apabila pembesar atau pemerintah berganti maka peraturan-peraturannya juga akan berubah. Dalam isu ini, ia bolehlah dikaitkan apabila berlaku kemalangan, maka timbullah pelbagai reaksi untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang. Macam-macam nak buat. Malangnya semuanya itu hangat-hangat tahi ayam, membawa maksud tidak bersungguh-sungguh. Apakah tindakan yang akan diambil? Adakah cadangan sekadar tinggal cadangan?
Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyarankan supaya kenderaan berat dilarang melalui kawasan sekolah sekurang-kurangnya dua jam ketika waktu puncak sekolah. Begitu juga dengan program perintis advokasi dan pencegahan dengan mengenal pasti dua sekolah berisiko tinggi di setiap negeri untuk dipantau. Ada juga cadangan menyediakan lebih banyak speed breaker dan bonggol di kawasan sekolah dalam usaha mengurangkan kelajuan kenderaan. Begitulah apa yang berlaku hari ini. Adakah ketika ini tidak cukup undang-undang dan peraturan? Rasanya, sudah banyak yang dilakukan. Lampu isyarat, bonggol, laluan khas, pengawal lalu lintas dan jejantas antara langkah keselamatan yang diambil oleh pihak kerajaan dan sekolah. Begitu juga dengan undang-undang dan peraturan yang tidak sukar untuk diperkenalkan. Masalahnya pelaksanaan dan sejauh mana orang ramai boleh menghormati dan menghargai peraturan itu. Kita boleh tambah seberapa banyak peraturan atau undang-undang tetapi keberkesanannya bergantung kepada sejauh mana ia dihormati.
Mungkin pihak pelaksana boleh melaksanakannya tetapi tidak ada makna tanpa penguatkuasaan. Begitu juga dengan golongan sasaran. Adakah mereka sedia mematuhi peraturan atau sekadar membaca? Contohnya larangan merokok. Kawasan Dilarang Merokok semakin diperluaskan. Sana sini ditampal dengan tanda larangan itu. Pelbagai premis juga diwartakan sebagai kawasan larangan. Apakah hasilnya? Perokok bebas merokok di kawasan larangan dan di situ juga rokok dijual. Begitulah undang-undang dan peraturan, sekadar ada. Inilah yang dikatakan kuantiti dan kualiti. Kita berbangga dengan jumlah premis larangan merokok tetapi hakikatnya tidak ada kesan. Bukanlah bermaksud biarkan sahaja siapa yang hendak merokok tetapi sekali-sekala lakukan penguatkuasaan yang boleh menggemparkan orang ramai khususnya perokok. Biar perokok tidak berani merokok di kawasan larangan.
Apa yang berlaku sekarang, di kebanyakan tempat, mereka merokok di kawasan larangan secara terbuka. Tidak ada siapa yang peduli. Begitu jugalah berhubung keselamatan anak-anak sekolah ini. Banyak yang sudah dilakukan tetapi apakah kesannya? Selak pernah menulis mengenai isu ini pada 7 Mac lalu. Tulisan ini berikutan kemalangan di kawasan sekolah sebelum ini. Selak percaya selepas kemalangan itu, pelbagai cadangan dilontarkan untuk mengatasi masalah itu. Ketika menulis isu itu, Selak geram melihat pemandu yang tidak menghormati anak-anak yang mahu melintas. Lokasinya di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra (SMKBSP), Bangi. Pelajar berkenaan cuba melintas melalui laluan garisan kuning ketika lampu isyarat berjalan kaki berwarna hijau. Malangnya ada kereta yang melintasi kawasan itu dengan ke-lajuan sederhana tanpa berhenti di lampu isyarat. Mungkin dise-babkan dia ‘raja’ jalan raya.
Baru-baru ini di lokasi yang sama, ketika berlangsung satu majlis melibatkan pelajar, ibu bapa dan orang ramai, kenderaan juga diletakkan di bahu jalan, di kiri kanan yang menampakkan kesibukan di kawasan sekolah. Dengan selamba, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita ‘melanggar’ laluan untuk melintas tanpa mempedulikan lampu isyarat hijau yang memberi laluan kepada pejalan kaki. Sepatutnya apabila melihat kenderaan yang banyak, pemandu harus memperlahankan kenderaan. Sukar membaca sikap pemandu kita. Biasanya, pemandu akan perlahankan kenderaan apabila berlaku sesuatu kemalangan. Sikap ‘ambil tahu’ amat tinggi hingga tindakan memperlahankan kenderaan itu menyebabkan jalan raya sesak. Sesetengah pemandu kita lebih berminat memperlahankan kenderaan untuk ‘menonton’ kemalangan tetapi tidak tahu memperlahankan kenderaan di kawasan sekolah. Mungkinkah mereka ini perlu disekolahkan semula? Pemandu kita hanya berdisiplin semasa mahu menjalani ujian memandu. Di situlah segala peraturan diikuti secara berhemah, tertib. ikut urutan apa yang perlu dibuat. Contohnya memakai tali pinggang keledar. Sekarang, tali pinggang keledar dipakai ketika terserempak dengan polis. Banyak lagi disiplin yang dipatuhi sebelum lulus ujian memandu dilupakan selepas memperoleh lesen.
Kembali ke sekolah. Buatlah apa juga peraturan, akhirnya ‘pelanggan’ yang menentukan keberkesanan peraturan itu. Pelanggan bermaksud pemandu. Selagi pemandu berhemah, kemalangan dapat dikurangkan. Mustahil, budak sekolah mahu dirinya dilanggar. Begitu juga dengan kenderaan, bukan sengaja. Dalam konteks ini siapa jaga siapa? Adakah pemandu menjaga orang melintas atau orang melintas men-jaga pemandu? Semuanya bertanggungjawab. Cuma yang ‘besar’ dan ‘tua’ itu perlulah mengalah. Jangan kerana kita ‘besar’ dan ‘tua’ tidak lagi mahu menghormati yang ‘kecil’ dan ‘muda’. Perlahankan kenderaan di kawasan sekolah. Anak-anak ini kadangkala nakal, melintas ikut suka, tolak menolak, lari ke sana sini, kejar mengejar sesama mereka. Lebih bahaya sekolah di tepi jalan yang sibuk.
Sikap pemandu tidak berhemah, gagal bertolak ansur menyebabkan keselamatan anak-anak kita terjejas. Hanya pemandu yang tahu menghormati pengguna lain mampu mengelakkan kemalangan. Hormatilah anak-anak kita di kawasan sekolah. Jangan jadikan mereka mangsa.
UMA031016011C#