JOHOR BAHRU 26 April – Kerajaan Johor menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini seperti tular di media sosial dan berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.
Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, berkata khabar angin kononnya kasino bakal dibuka di Forest City boleh menjejaskan kerukunan, nama baik Johor dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
Hakikatnya kata Onn Hafiz dalam satu kenyataan hari ini, sejarah Johor jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di negeri ini sudahpun ditutup.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, juga telah bertitah sebelum ini bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau juga menjelaskan, Kerajaan Johor tidak pernah menerima jemputan untuk sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan, apatah lagi terbabit atau dirujuk mengenainya.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat membincangkan perkara itu.
“Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan Johor yakin Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi bakal bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Semua sedia maklum bahawa kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, sedang giat berusaha merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor supaya ia memberi impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti serta berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.
“Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat untuk mencemar imej Forest City serta Johor secara keseluruhan,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City, Johor.
Beliau menegaskan laporan media yang memetik sumber bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu, adalah tidak betul.
Sebelum ini, laporan Bloomberg yang memetik sumber, mendakwa bahawa Perdana Menteri bertemu dua hartawan terkemuka pada minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Laporan itu mendakwa bahawa Anwar, pegawai kanan kerajaan serta ahli perniagaan terbabit mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.
Nnnn
