ISTANBUL: Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendakwa seorang kanak-kanak maut setiap 10 minit di Semenanjung Gaza.
Menurut UNRWA dalam hantaran di X, sejumlah kanak-kanak juga cedera di tengah-tengah serangan berterusan tanpa mengira sasaran dan gencatan senjata segera adalah harapan terakhir yang tinggal.
Dalam pada itu, Pentadbiran Pertahanan Awam Palestin di Semenanjung Gaza berkata bahawa jasad 50 warga Palestin yang dibunuh tentera Israel ditemukan daripada sebuah kubu besar di selatan Wilayah Khan Younis.
Kenyataan itu menekankan masih terdapat mayat dalam kubur besar dan di bawah runtuhan, sambil menambah pasukan pertahanan awam akan terus mencari dan mengeluarkan mayat berkenaan.
Tentera Israel mengumumkan pengundurannya dari Khan Younis pada 7 April selepas operasi selama empat bulan menyasarkan untuk menyelamatkan warga Israel yang ditawan kumpulan pejuang Palestin, Hamas tetapi ia meninggalkan bandar itu tanpa mencapai matlamatnya.
Operasi tentera Israel mengakibatkan kerosakan jalan raya, kediaman dan infrastruktur.
Tanpa mempedulikan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Israel meneruskan serangannya ke atsa Gaza dan mengakibatkan 34,049 warga Palestin maut kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta 76,901 lagi cedera sejak 7 Oktober lepas.
Serangan Israel itu telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain daripada menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut sementara 60 peratus daripada infrastruktur kawasan itu sama ada rosak ataupun musnah.
Serangan masih berterusan dan penghantaran bantuan masih tidak mencukupi untuk menangani krisis kemanusiaan itu.
Nnnn
