BAITULMAQDIS: Tentera udara Israel dilaporkan sudah memuktamadkan persiapan untuk kemungkinan melakukan serangan balas ke atas Iran.
Menurut media tempatan, Tel Aviv juga sedang merancang ‘tindak balas terhad’ bagi mengelakkan perang habis-habisan antara kedua-dua pihak.
Israel berusaha untuk mengekalkan Semenanjung Gaza sebagai medan perang utama, dan tidak mahu mengubahnya menjadi barisan kedua.
Mengenai jenis serangan yang dirancang Israel, media melaporkan, tindak balas Israel boleh menjadi pembunuhan di dalam Iran atau serangan siber berskala besar.
Awal Isnin, Ketua Staf Tentera Israel, Herzi Halevi, dilaporkan berkata, Israel akan bertindak balas terhadap serangan Iran pada hujung minggu.
Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas terhadap serangan 1 April ke atas Konsulat Iran di Damsyik, Syria, di mana sekurang-kurangnya 13 terbunuh, termasuk tujuh penasihat tentera.
Beberapa peluru berpandu dilaporkan melanda dalam wilayah Israel, satu daripadanya merosakkan kemudahan ketenteraan Israel di selatan negara itu.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres Guterres berkata, secara keseluruhan, beberapa orang awam cedera.
Wakil tetap Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani dalam surat kepada presiden Majlis Keselamatan, menyatakan bahawa tindakan Iran diambil ‘sebagai tindak balas kepada pencerobohan tentera Israel yang berulang terutamanya serangan bersenjata pada 1 April 2024 ke atas bangunan konsulat Iran di Damsyik.
