BAITULMAQDIS: Israel bersiap sedia menghadapi serangan oleh Iran atau sekutu-sekutunya, ketika amaran semakin meningkat mengenai tindak balas terhadap pembunuhan seorang pegawai kanan di Kedutaan Iran di Damsyik pada minggu lalu.
Beberapa negara termasuk India, Perancis, Poland dan Rusia memberi amaran kepada rakyat masing-masing supaya tidak melakukan perjalanan ke rantau itu, ketika perang di Gaza telah memasuki bulan ketujuh.
Tentera Israel menyatakan ia tidak mengeluarkan arahan baharu kepada orang awam, tetapi meminta orang ramai supaya terus berwaspada.
“Sejak sehari yang lalu, tentera Israel sudah menjalankan penilaian situasi dan meluluskan rancangan untuk pelbagai senario berikutan laporan dan kenyataan mengenai serangan Iran,” kata ketua jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari.
Kementerian Luar Israel bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan yang mendakwa sesetengah misi diplomatik Israel telah dikosongkan sebahagiannya dan tahap keselamatan telah dipertingkatkan.
Terdahulu jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat John Kirby berkata ancaman dari Iran adalah jelas dan nyata.
Israel sebelum itu tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan udara pada 1 April yang membunuh Brigedier Jeneral Mohammad Reza Zahedi, komander kanan dalam Pasukan Pengawal Revolusi Iran, dan enam pegawai lain ketika mereka sedang menghadiri mesyuarat di pekarangan Kedutaan Iran di Damsyik.
Tetapi pemimpin ulung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata Israel “mesti dihukum dan akan dihukum” kerana melancarkan operasi yang disifatkannya sama dengan serangan ke atas bumi Iran.
