Akta siasat Dr Akmal bersifat kuku besi, zalim

SEPANG 7 April –  Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh tidak sepatutnya disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana kedua-dua akta itu bersifat kuku besi dan zalim yang sering disebut akta yang draconian.

Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata beliau memahami keperitan dialami kerana pernah disiasat, dituduh dan dibicarakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Hassan berkata, Ketua Pemuda UMNO itu sewajarnya disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang lebih adil dan berpatutan yang berkait kesalahan mungkin menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan dalam masyarakat, menimbulkan kebencian atau membangkitkan sebab kepada orang lain melakukan keganasan.

“Saya mengetahui betapa zalimnya Akta Hasutan itu, maka sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen Malaysia yang mahu melihat Akta Hasutan 1948 dimansuhkan di Malaysia merdeka ini, saya ikhlas menawarkan diri jika Dr Muhamad Akmal sudi dan bersetuju menerima tawaran saya menjadi seorang daripada peguam bela dalam pasukan guamannya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

Pada 26 Mac lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan penjualan stoking itu.

Hassan berkata, Pakatan Harapan (PH) pernah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan meminda Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang terlalu luas, kabur dan terbuka untuk disalahgunakan.

“Kita mungkin tidak setuju atau tidak sependapat dengan pandangan dikemukakan Dr Muhamad Akmal tetapi hak beliau untuk bersuara dan menyatakan pendiriannya dalam soal stoking yang dikaitkan dengan kalimah Allah adalah dilindungi mengikut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan bahawa setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment