Hormati kedudukan, peranan negeri

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Pas mengajak semua pihak untuk mengetepikan perbezaan politik sebaliknya saling bekerjasama, dalam usaha membina negara ke arah yang lebih baik, kata Naib Presidennya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,.

Menteri Besar Terengganu itu turut mengingatkan semua pihak supaya kurang berpolitik serta menghormati kedudukan dan peranan negeri dalam Persekutuan Malaysia.

“Ya, kita harus ketepikan sengketa politik kerana politik adalah satu kaedah untuk mencapai ke Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

“Namun, yang penting adalah semua pihak perlu bekerjasama dan mengurangkan politik, termasuk menghormati kedudukan dan peranan negeri dalam Persekutuan Malaysia. Negeri mempunyai peranan dalam negara merdeka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman, mengulas Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, titah baginda menyentuh pelbagai aspek dalam negara yang perlu menjadi perhatian semua pihak.

Katanya, antara perkara disentuh dalam titah baginda ialah masalah perpaduan, kedudukan ekonomi dan hala tuju pendidikan tinggi yang perlu diperkasa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang tidak hadir di Dewan Rakyat hari ini kerana keadaan kesihatannya masih tidak mengizinkan dan dalam tempoh pemulihan.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang memaklumkan Presiden Pas itu masih mempunyai beberapa rawatan susulan di sebuah hospital di Terengganu.

Mohd Syahir yang juga Setiausaha Politik kepada Abdul Hadi berkata, surat dan sijil cuti sakit sudah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul semalam.

Related posts

Leave a Comment