KUALA LUMPUR 24 Feb. – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan berarak ke Parlimen Selasa ini, bagi mendesak kerajaan melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum ini.
Dalam hantaran di X, BERSIH berkata, sempena pembukaan Parlimen, demonstrasi itu adalah tindakan pertama mereka untuk menuntut #Reformasi100Peratus.
“Kami nak ingatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) janji-janji yang pernah dibuat sebelum ini bermula dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan sebarang maklumat sebagai rahsia rasmi, lantas tidak boleh didedahkan.
“Janji kedua kami ingin ingatkan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim semula berkenaan had penggal untuk Perdana Menteri dan janji ketiga mengenai Akta Hasutan 1948,” katanya.
BERSIH juga menggesa orang ramai untuk menyertai demonstrasi itu yang akan bermula di Tugu Negara pada pukul 8 pagi dengan mengenakan pakaian berwarna hitam atau kuning.
Dewan Rakyat akan bersidang selama 69 hari pada tahun ini, dengan sidang pertama bermula 26 Februari hingga 27 Mac iaitu selama 19 hari.
Nnn
