Ammar diturunkan pangkat, bukan dipecat

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Diturunkan pangkat, bukan dipecat. Demikian penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing bagi menafikan laporan beliau memecat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dr Ammar Abd Ghapar.

Beliau menjelaskan, pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah disebabkan kemerosotan prestasi Ammar, yang disifatkan sebagai tidak memuaskan dan tidak mencapai standard ditetapkan.

Katanya, Dr Ammaf sudah diberi peluang dan nasihat untuk melakukan yang terbaik kepada negara tetapi beliau tidak memberikan perkhidmatan yang sepatutnya.

“Malah, dalam satu mesyuarat yang terbaharu, saya bagi arahan jangan lakukan sesuatu tetapi beliau buat juga sebab itu saya arahkan pertukaran dibuat serta-merta.

“Ini mengenai prestasi (Ammar) dan tiada kaitan dengan isu perkauman …saya sedih dikata begitu (perkauman) apabila dia kata Manoharan (Ketua Pengarah baharu) boleh duduk minum bersama-sama dengan saya.

“Dia tiada idea atau dia tak tahu. Kalau kamu tidak boleh ‘perform’ saya mesti tukar dan ia bukan pecat.

Saya bagi dia turun pangkat sahaja, memang dari dulu bila Ketua Pengarah (KP), bekas KP pencen memang dia dalam senarai bukan nombor satu. Saya beri peluang sebab dia ada PhD (Ijazah Kedoktoran) dalam pelancongan.

“Tetapi dia tidak jalankan tugas, dia tidak membuktikan PhD itu. Dia tidak melakukan libat urus dengan negeri-negeri,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai dakwaan pemecatan Ammar berdasarkan surat tular di media sosial bertarikh 22 Februari yang memaklumkan berhubung perkara berkenaan.

King Sing menjelaskan disebabkan kelemahan Ammar, banyak pihak termasuk pentadbiran pelancongan negeri merungut kepada kementeriannya.

“Dia tidak ada libat urus dengan negeri. Kenapa jadi begitu? Siapa tidak menunjukkan prestasi yang baik, turunlah…beri peluang kepada orang lain. Tiada kaitan isu perkauman sebagainya,” katanya.

Ammar juga didakwa gagal mewujudkan destinasi baharu untuk pelancong selain tidak berjaya melakukan peningkatan bilangan pelancong ke Malaysia seperti yang disasarkan.

Menurutnya, Malaysia menerima kedatangan 1.2 juta pelancong dari China sedangkan Thailand menerima 10 juta pelancong China.

“Dia ikut saya pergi mengadakan promosi (Malaysia ke luar negara) sekali, saya minta dia ‘follow up’ (buat susulan) tapi di tidak pergi ‘follow up’,” katanya yang  mempertahankan tindakan terhadap Ammar mengikut proses dan prosedur ditetapkan.

“Kementerian sudah ada calon pengganti untuk mengisi kekosongan itu, dalam kalangan orang Tourism Malaysia” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment