SEPANG 24 Feb. – Ketua Pergerakan era Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan isu padi dan beras ini perlu diketuai dan diuruskan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Pada masa yang sama beliau berkata, libat urus pula mesti melibatkan pesawah, pengilang dan juga pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan bukannya diuruskan oleh “katak politik”.
“Isu beras ini perlu diberi penekanan bagaimana pesawah kita perlu diperkasakan untuk mengolah hasil padi mereka dan Insyallah keterjaminan pendapatan pesawah kita akan membawa kepada keterjaminan bekalan beras di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian, susulan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menangguhkan cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berhubung Beras Putih Malaysia Madani.
“Terima kasih PMX Anwar Ibrahim kerana menangguhkan cadangan yang telah dikemukakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang berkenaan beras Madani,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau juga berharap, libat urus yang diketuai oleh kementerian akan memberikan cadangan yang jauh lebih baik untuk kebaikan rakyat
Anwar semalam mengarahkan KPKM mengetuai serta menyelaras sesi libat urus secara lebih terperinci dengan seberapa segera dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dari Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Bagaimanapun KPKM menjelaskan, belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang dikenali sebagai Beras Putih Malaysia MADANI.
Nnn
