KUALA LUMPUR 11 Feb. – Selepas ditegur rakan sendiri, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil turut mendapat teguran daripada pembangkang apabila Bersatu, menempelak Menteri Komunikasi itu yang didakwa menuduh Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyebarkan berita palsu.
Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri adalah figura berprinsip, dihormati, berintegriti, benar dan berani serta pernah memegang beberapa jawatan penting di negara ini.
“Muhyiddin ialah bekas Perdana Menteri, mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar serta beberapa portfolio menteri Kabinet.
Kamu siapa Fahmi? Sekadar berani atas kuasa menteri setahun jagung. Jaga mulut kamu Fahmi, jangan celupar! Jangan semberono menuduh ikut sedap mulut,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.
Razali mengulas tindakan Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai yang mengatakan ‘Muhyiddin sebar berita palsu’ menerusi hantaran di platform X, semalam.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum itu mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
Mengulas lanjut, Fahmi sepatutnya dituduh dan bertanggungjawab mengenai maklumat keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Tun Abdul Razak yang bocor serta disiarkan lebih awal oleh media Singapura.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menubuhkan satu inkuiri atau tribunal dan memanggil Fahmi untuk menjawab mengenai kebocoran rahsia negara.
“Jelas, ini satu elemen kesalahan berkait rahsia besar negara. Menteri Komunikasi perlu bertanggungjawab dan melepaskan jawatan serta-merta,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengingatkan pemimpin PKR supaya tidak bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’ susulan kenyataan Fahmi terhadap bekas Naib Presiden PKR, N Surendran untuk mengamal disiplin dalam parti ketika menyuarakan pandangan.
Surendran sebelum itu mengkritik sikap pemimpin PH yang berdiam diri berkaitan siasatan hasutan terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berhubung catatan di Facebook yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak.
Dalam reaksinya, Fahmi menghormati keputusan Surendran keluar parti itu namun mendakwa bekas Ahli Parlimen itu tidak dicalonkan dan sudah tidak aktif sejak Pilihan Raya Umum ke-14, maka mungkin bekas pemimpin PKR itu merasakan sesuai untuk berjuang menggunakan ‘platform’ lain.
Nnnn
