Indonesia mahu import 3 juta tan beras

GARUT, JAWA BARAT: Indonesia akan mengimport tiga juta tan beras tahun ini bagi memenuhi defisit berasnya yang dianggarkan sehingga 2.3 juta tan, disebabkan corak cuaca El Nino.

Menteri Penyelaras Ekonomi Airlangga Hartarto, berkata daripada jumlah itu, dua juta tan diproses di Agensi Logistik Negara (Bulog).

Tahun lalu, Indonesia mengimport kira-kira 3.5 juta tan beras dengan baki 500,000 tan dijangka tiba bulan ini.

Hartarto yang melawat Daerah Garut untuk menyerahkan bantuan beras kerajaan kepada keluarga penerima, memberitahu, corak iklim El Nino yang melanda Indonesia baru-baru ini mencetuskan defisit beras negara.

Dalam pada itu, Ketua Badan Makanan Negara (Bapanas), Arief Prasetyo Adi, berkata keputusan kerajaan mengimport beras adalah ‘alternatif sukar’ yang perlu diambil bagi mengukuhkan stok Rizab Beras Kerajaan (CBP).

Adi berkata mandat untuk Bulog mengimport dua juta tan beras pada 2024 mesti dilaksanakan di tengah-tengah penurunan pengeluaran beras Indonesia berikutan corak cuaca El Nino.

“Kita tahu keadaan pengeluaran beras negara merosot akibat kesan perubahan iklim dan El Nino. Kita mengalami kesannya beberapa bulan selepas itu, jadi pada awal 2024, akan ada defisit dalam baki beras bulanan,” katanya.

Statistik Indonesia (BPS) menganggarkan Indonesia akan mencatatkan defisit beras dalam tempoh Januari hingga Februari 2024, dengan jumlah defisit sebanyak 2.83 juta tan.

Defisit pada Januari diramal mencecah 1.61 juta tan, manakala pada Februari, ia diunjurkan 1.22 juta tan.

Related posts

Leave a Comment