Kelantan tarik balik darjah kebesaran Agus

KOTA BHARU 18 Jan. – Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK) kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff.

Menurut Warta Kerajaan, bertarikh 28 Disember lalu yang mula tular sejak pagi ini memaklumkan Mohammad Agus dikurniakan darjah kebesaran berkenaan pada 12 November 2011 dan penarikan balik itu berkuat kuasa pada 2 Disember lalu.

“Bagi menjunjung titah perintah Sultan Muhammad V, adalah dimaklumkan bahawa baginda perkenan menarik balik Tauliah Pelantikan Ahli Yang Kedua (Dato’ Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DSPK) yang dianugerahkan kepada Mohammad Agus sebelum ini.

“Penarikan balik ini berkuat kuasa mulai 2 Disember lalu,” katanya menerusi warta berkenaan.

Sebelum ini, polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab.

Susulan itu, Mohammad Agus meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM dan mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya itu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Polis juga melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan bekas Mohammad Agus terhadap kakitangan J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dipercayai berlaku di Bintulu, Sarawak, pada Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Related posts

Leave a Comment