Wujudkan penggal tetap Parlimen

KUALA LUMPUR 13 Jan. –  Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) mencadangkan kerajaan mengkaji cadangan mewujudkan penggal tetap Parlimen bagi menjamin kepemimpinan kerajaan untuk tempoh lima tahun yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketua AWAN,  Aiman Athirah Sabu, berkata walaupun wujud Akta Anti Lompat Parti bagi menghalang Ahli Parlimen bertukar parti yang boleh memberi kesan kepada kedudukan kerajaan, pelbagai cara masih dilakukan pembangkang.

Ini termasuk dakwaan wujudnya 120 Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Jika boleh, wujudkan (dasar) penggal tetap untuk Parlimen, maknanya setiap kali PRU, kepemimpinan kerajaan itu memang untuk lima tahun.

“Mungkin Datuk Seri Azalina Othman (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi)) boleh membawa cadangan ini supaya ia memberi lebih ketenangan dan kestabilan kepada politik negara kita,” katanya.

Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat AWAN di Wisma AMANAH Negara di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan supaya diadakan usul undi percaya kepada Anwar di Parlimen bagi membuktikan sokongan kukuh Ahli Parlimen kepada kepemimpinan Anwar.

Cadangan supaya kerajaan mewujudkan dasar penggal tetap Parlimen pernah disuarakan sebelum ini,yang menentukan tarikh PRU secara automatik selepas genap mandat lima tahun bagi sesebuah kerajaan.

Ia bagi memastikan sesebuah kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya, dapat mengekalkan mandat rakyat selama lima tahun tanpa sebarang gangguan.

Dalam pada itu, Aiman Athirah yakin, jika diadakan sekali lagi undi percaya, Anwar akan tetap mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen manakala pembangkang hanya mencuba nasib untuk menjatuhkan kerajaan.

Sementara itu, Aiman Athirah memaklumkan, AWAN yang ketika ini terdapat di 138 kawasan akan memberi tumpuan kepada pendaftaran sayap itu di lebih banyak kawasan, terutama di Sabah dan Sarawak.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment