Tenang-tenang saja – Hamzah

SEPANG 8 Jan. – “Tenang-tenang saja, tak lari gunung dikejar tu,” Itu reaksi Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin menerusi media sosialnya berkenaan isu politik yang melanda negara sejak beberapa hari ini.

“Sehari dua ni, saya dengar ramai yang tak senang duduk – gelisah semacam. Ada yang berlari ke IJN (Institut Jantung Negara), ada yang ke Sabah. Tenang-tenang saja, tak lari gunung dikejar tu,” kata Setiausaha Agung PN itu.

Dipercayai kenyataan Ahli Parlimen Larut itu merujuk kehadiran Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke IJN untuk melawat Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Sabah.

Bagaimanapun Perdana Menteri dilaporkan tidak sempat berjumpa Ahli Parlimen Marang itu kerana berada dalam rawatan dan pemantauan.

Ahmad Zahid dikatakan untuk menyelesaikan ketegangan politik yang dilaporkan berlaku di Sabah tetapi Setiausaha politiknya, Jamal Nerubi berkata, Ahmad Zahid memenuhi jemputan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Bendec.

“Alhamdulillah, saya bersama Datuk Dr Radzi Jidin tenang-tenang saja bermesyuarat bersama Badan Perhubungan Bersatu Wilayah Persekutuan,” kata Hamzah.

Sebeum itu, Perikatan Nasional (PN) menafikan dakwaan kononnya Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan kepada 118 ahli Parlimen gabungan itu untuk datang menghadap Seri Paduka Baginda bersama akuan bersumpah masing-masing.

Pejabat Ketua Pembangkang memaklumkan, kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Hamzah seperti yang ditularkan di media sosial, adalah palsu.

Kenyataan media bertarikh 6 Januari yang tular itu mendakwa PN merafak syukur kerana usaha menyelamatkan negara mendapat ihsan Seri Paduka Baginda.

Related posts

Leave a Comment