6 penunggang aksi Superman ditahan

PORT DICKSON 1 Jan. –  Polis menahan enam lelaki yang didakwa menunggang motosikal dengan aksi ‘Superman’ sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2024 di daerah ini dalam satu operasi bermula pukul 9 malam 31 Disember hingga 4 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, dalam satu kenyataan berkata perbuatan mereka itu boleh membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Susulan aksi berbahaya itu, polis menahan enam penunggang motosikal berusia 17 hingga 28 tahun. Semua mereka ditahan bersama motosikal masing-masing dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan lanjut.

“Mereka yang ditahan terdiri pelajar, pekerja kilang dan syarikat swasta. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Aidi berkata, Op Samseng Jalanan itu bertujuan mengesan individu yang cuba menjadi samseng jalan raya.

“Pihak polis IPD Port Dickson menerusi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik komited dalam membanteras budaya tidak sihat pengguna jalan raya yang boleh mengganggu keselamatan pengguna jalan raya lain.

Keselamatan pengunjung yang memandu kenderaan masuk ke daerah Port Dickson sebagai daerah pelancongan terkenal sangat dititik beratkan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment