KKM akan keluar arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga

PUTRAJAYA 14 Dis. –  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan kes baharu yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.

Bercakap selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM di sini hari ini, beliau berkata, KKM amat menggalakkan penduduk di negara ini agar segera mengambil imunisasi penggalak kerana kadar jangkitan ketika ini dianggap masih rendah.

Ditanya mengenai bekalan vaksin dos penggalak, beliau memberi jaminan bahawa stok berkenaan masih dalam simpanan KKM dan belum lagi mencapai tarikh luput penggunaan.

“Andai kita laksanakan, masih ada bekalan yang belum mencapai tarikh luput dan ia mampu melindungi daripada pelbagai strain Covid-19,” katanya.

KKM pada Rabu memaklumkan bilangan jangkitan Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) meningkat dua kali ganda berbanding sebelumnya. Ia menyaksikan 12,757 kes direkodkan berbanding 2,796 pada ME 48.

Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan saringan ketat di dua pintu masuk negara dengan Singapura.

Katanya, pihaknya tidak mengambil ringan dengan apa yang berlaku di negara-negara jiran berdasarkan pengalaman terjadi sebelum ini.

“Jika kita perhatikan ada keperluan, ia akan membawa pula kepada langkah intervensi dan mitigasi yang bersesuaian berbanding dengan memberikan suasana amaran.

“Semua tindakan akan kita pertimbang dan kita (Kementerian Kesihatan) ada pelan tindakan seandainya timbul keperluan secara kecemasan,” katanya..

Related posts

Leave a Comment