Ram Karpal beri laluan kepada abangnya Gobind

PETALING JAYA : Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh secara sukarela memberi laluan kepada Gobind Singh Deo apabila mengetahui abangnya akan dilantik menganggotai Kabinet.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata disebabkan hubungan adik-beradik itu, Ramkarpal merasakan adalah tidak sesuai untuk mereka berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri dalam satu pentadbiran.

“Oleh itu sekali lagi saya ingin ucapkan terima kasih kepada Ramkarpal kerana sudah banyak menyumbang dan melakukan perubahan serta banyak membantu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam merangka beberapa reformasi undang-undang dan merangka rang undang-undang yang baharu.

“Banyak kerja telah dilaksanakan sepanjang setahun yang lalu tetapi beliau mengambil sikap untuk berkorban untuk mengosongkan jawatannya supaya tidak memberi ruang kepada pengkritik parti DAP kononnya kita mengamalkan nepotisme.

Jadi tiada isu nepotisme di sini. Beliau beri laluan secara sukarela. Ni satu semangat yang saya rasa amat penting dan parti juga merakamkan penghargaan di atas pengorbanan beliau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini, hari ini selepas Istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Negara.

Gobind hari ini dilantik sebagai Menteri Digital iaitu pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Sementara itu, Loke yang masih mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkata, berkenaan jawatan V Sivakumar yang digugurkan sebagai Menteri Sumber Manusia, beliau berkata setiap lantikan sama ada menteri atau timbalan menteri adalah keputusan mutlak Perdana Menteri dan bukan parti.

Katanya, apa yang Sivakumar sudah katakan dalam kenyataannya sebelum ini adalah semangat DAP dan dia tidak persoal langsung malah hormat dengan keputusan Perdana Menteri.

“Saya selalu ingatkan pemimpin parti yang setiap jawatan kerajaan bukan hak kepada sesiapa. Ia adalah amanah dan tanggungjawab. Apabila dilantik kena buat kerja elok-elok. Apabila tidak dilantik hormat keputusan,” katanya.

Apabila ditanya berkenaan DAP yang dikatakan menambah lebih banyak kerusi dalam rombakan Kabinet hari ini , Loke menafikan perkara itu.

“Kita bukan ‘bigger winner’. Kita tambah satu kerusi UMNO pun tambah satu kerusi kerana kita ada satu tambahan kerusi dan gugurkan dua kerusi iaitu menteri dan timbalan menteri.

“UMNO pula ada yang bertukar portfolio. Jadi ini adalah satu keputusan yang adil,” katanya.

Berkenaan saiz Kabinet yang semakin besar, Loke berkata, saiz Kabinet sekarang sama dengan yang dilaksanakan kerajaan terdahulu namun apa yang lebih penting adalah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

Katanya, apa saja yang dilakukan kerajaan pasti ada pihak yang akan setuju, tidak setuju dan kritik.

“Tiada keputusan yang boleh memuaskan hati semua orang. Namun keputusan ini sudah dibuat jadi fokus untuk buat kerja untuk memastikan ekonomi negara termasuk dalam sektor pelancongan dan pengangkutan semakin baik,” katanya

Related posts

Leave a Comment