Kementerian Perladangan dan Komoditi mencabar – Johari

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Kementerian Perladangan dan Komoditi adalah sebuah kementerian mencabar pada masa ini yang memerlukan pemikiran luar kotak, kata Menterinya yang baharu dilantik  Johari Abdul Ghani.

Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, terdapat pelbagai perkara yang ingin dikongsikan dengan kementerian itu yang menjadi salah satu daripada komponen dalam ekonomi negara ini.

“Kementerian Perladangan dan Komoditi merupakan satu komponen dalam ekonomi kita. Contohnya, kalau kita tengok dalam konteks pertanian negara kita, pertanian kita kira-kira lapan hingga sembilan peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Jadi, perladangan dan sektor komoditi ini mewakili lebih 50 peratus daripada sumbangan pertanian. Banyak benda yang saya nak tengok,” katanya.

Johari berkata demikian selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, di sini, hari ini.

Beliau adalah antara lima menteri dan lima timbalan menteri baharu, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Johari yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan II dilantik ke jawatan itu mengambil tempat Fadillah Yusof yang bertukar portfolio kepada Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.

Sementara itu, berikutan pelantikan sebagai menteri, Johari meletak jawatan sebagai Pengerusi CI Holdings Bhd, hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, CI Holdings berkata, Johari, 59, bukan lagi ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat itu berikutan peletakan jawatannya sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas.

“Pengarah syarikat itu, Megat Joha Megat Abdul Rahman, 60, yang mempunyai kepentingan langsung sebanyak 0.62 peratus dalam syarikat itu telah dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas,” kata CI Holdings yang terbabit dalam pembuatan dan pembungkusan minyak makan pada makluman berasingan di Bursa Malaysia.

Menurut laporan tahunan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2023 (TK2023), Johari ialah pemegang saham tunggal terbesar CI Holdings dengan memegang 53.4 juta, atau 32.96 peratus kepentingan tidak langsung dalam syarikat itu melalui JAG Capital Holdings Sdn Bhd.

Laporan tahunan itu berkata, Johari dilantik ke lembaga pengarah pada 6 Mac, 2019, dan dilantik semula sebagai pengerusi bukan eksekutif bukan bebas pada 30 Mei, 2019.

 

Related posts

Leave a Comment