KUALA LUMPUR 8 Dis. – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) membuat permohonan maaf kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan penganjur saingan Piala Malaysia 2023 berhubung isu kerosakan padang.
Menerusi kenyataan media, semalam PSM turut memohon maaf kepada semua peminat sukan bola sepak negara terutamanya pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) yang akan berentap di final Piala Malaysia, malam ini.
“PSM mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November lalu.
PSM komited melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara di Stadium Nasional pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.
Isnin lalu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga penaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional memuat naik gambar terkini padang di gelanggang berkenaan yang dilihat masih rosak selepas konsert Coldplay.
Situasi itu mencetuskan kemarahan peminat bola sepak tempatan kerana padang berkenaan tidak bersedia sepenuhnya bagi aksi final Piala Malaysia.
